Nik Nazmi Nik Ahmad
  •  Nik Nazmi Nik Ahmad
INFO DARI SINAR HARIAN  ONLINE
Susulan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal mengumumkan jurulatih baru skuad bola sepak Harimau Malaya, Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan tidak bersetuju jika ia adalah jurulatih import yang memerlukan bayaran gaji yang tinggi.

Menurutnya, bagi memartabatkan bola sepak di negara ini, ia memerlukan reformasi secara menyeluruh bukan bergantung kepada tenaga pengajar sukan itu semata-mata.

"Saya menyambut baik kenyataan-kenyataan dari Kementeria Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan perlantikan jurulatih yang mahal buat negara.

"Kita menunggu butir-butir Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

"Kita berharap penekanan kepada perubahan radikal dan menekankan matlamat jangka masa panjang, kalaupun tidak 100 tahun dapat dapat dipertimbang Kerajaan Persekutuan.

"Yang penting, perubahan mestilah diinstitusikan dan tidak berharapkan kekuatan personaliti atau individu semata-mata," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier yang berada dalam radar FAM, muncul sebagai calon pilihan untuk membimbing skuad bola sepak kebangsaan.

Difahamkan, pihak FAM telah mengadakan dua pertemuan dengan bekas pengendali FC Ryukyu itu di China pada Julai tahun lalu sebelum mengadakan rundingan susulan di London, baru-baru ini.

Selain Troussier yang dikatakan bakal menikmati pendapatan lumayan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun daripada FAM jika bersetuju melatih Harimau Malaya, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic, jurulatih Sarawak, Robert Alberts, bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller, bekas pemain Chelsea, Marcel Desailly dan pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Sehubungan itu, terbaru FAM bakal mengumumkan jurulatih baharu skuad bola sepak Harimau Malaya selewat-lewat pada bulan depan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memberitahu, pihaknya hampir mengenalpasti individu yang bakal dilantik memegang jawatan tersebut selepas menyemak latar belakang lima calon yang disenarai pendek untuk mengisi jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga tidak menolak reformasi itu memakan masa yang panjang untuk memajukan sukan berprestij itu.

"Hanya apabila isu-isu tersebut diselesaikan dan ini memerlukan masa yang lama kita dapat mempertimbangkan jurulatih kebangsaan berprestij untuk membimbing Harimau Malaya," jelasnya.