KUANTAN - Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemborong dan orang tengah yang mengambil kesempatan menyorok minyak masak bagi mengaut keuntungan mudah berikutan langkah penstrukturan semula subsidi minyak masak yang diumumkan kerajaan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal yang juga Pengerusi Barisan Nasional Indera Mahkota berkata, sejak sebulan lalu bekalan minyak masak botol semakin berkurangan dan habis apabila pihak pemborong tidak membekalkan bahan memasak itu seperti kebiasaan.
''Pemborong yang seolah-olah tahu harga minyak masak botol akan dinaikkan bertindak sedemikian demi mengaut untung dengan cara mudah.
''Justeru, saya sarankan penguatkuasaan perlu diperhebatkan bagi mengelak perkara sama berulang setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan keperluan asas pengguna," katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, akhbar melaporkan harga minyak masak peket 1 kilogram (kg) kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November.
Menurut Mustaffar Kamal, premis runcit Agrobazaar yang diusahakan Pasfa tidak menerima bekalan minyak masak dalam botol sejak lebih sebulan lalu, bagaimanapun stok minyak masak peket satu kilogram masih mencukupi untuk pelanggan untuk sekurang-kurangnya dua minggu lagi.
"Pelanggan kami kebiasaannya lebih gemar menggunakan minyak masak peket, bagaimanapun kami terpaksa mencatu pembelian minyak masak iaitu hanya dua peket bagi setiap pelanggan," katanya. - Barisan Nasional Malaysia Friends of BN
0 comments:
Post a Comment