KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kementerian Luar sedang berusaha
mendapatkan kelulusan bagi penjagaan sementara empat orang anak pasangan
Malaysia, yang ditahan reman oleh pihak berkuasa Sweden, untuk
dipindahkan daripada keluarga angkat tempatan kepada keluarga Muslim
Malaysia di Sweden.
Kementerian itu dalam satu kenyataan
malam ini menyatakan ia memandang serius penahanan pasangan warga
Malaysia itu dan telah memohon supaya satu pasukan undang-undang
kerajaan Malaysia menjadi peguam pemerhati semasa perbicaraan mereka.
“Sejak hari pertama penahanan
(mereka), kementerian menerusi Kedutaan Malaysia di Stockholm, telah
terlibat sepenuhnya dalam memberikan pelbagai bantuan kepada pasangan
yang didakwa itu,” kata Wisma Putra.
Menerusi saluran diplomatik,
Kementerian Luar menyatakan ia telah beberapa kali mengeluarkan Nota
Diplomatik daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan Sweden bagi
memohon perhatian dan pertimbangan baik pihaknya.
Duta Besar Malaysia ke Sweden juga telah menemui peringkat tertinggi pihak berkuasa negara itu berhubung perkara berkenaan.
Pasangan Malaysia itu ditahan pada 18
Dis lepas bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul tangan seorang
daripada empat anak mereka kerana tidak bersolat.
Wisma Putra berkata penahanan reman
berterusan pasangan itu telah menimbulkan rasa kebimbangan dalam
kalangan masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi kes itu berpanjangan
sehingga hari ini.
Kementerian memberi jaminan bahawa ia
akan menggerakkan semua langkah yang ada bagi memastikan kes itu dapat
diselesaikan dengan lancar dalam masa terdekat selain hak pasangan itu
dan anak-anak mereka terus dipelihara.
Sweden mendukung kuat hak asasi
manusia dan perlindungan kanak-kanak, dengan memastikan undang-undang
negara dipatuhi oleh rakyatnya serta warga asing yang menetap di negara
itu.
“Namun, ini tidak akan menghalang
usaha berterusan kementerian dalam menggalakkan hak dan perlindungan,
kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat,” kata
Kementerian Luar. - BERNAMA
sumber - http://www.ismaweb.net/v4/
0 comments:
Post a Comment