KUALA KRAU  – Mereka yang tidak bertanggungjawab diingatkan supaya tidak menjadi batu api dalam isu kalimah ALLAH.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said  berkata, jangan menjadikan isu kalimah Allah sebagai batu api bagi membakar semangat rakyat  yang boleh menimbulkan huru-hara.

Menurutnya, kerajaan dan pemimpin negara tidak berdiam diri dalam menangani isu tersebut, malah mempunyai kaedah tertentu bagi mengatasi kemelut tersebut.

“Tuduhan setengah pihak bahawa kerajaan berdiam diri tidak benar sama sekali, malah kerajaan sedang mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pemimpin kaum dan agama bagi mengatasinya.

“Negara ada undang-undang dan akta, kita tidak boleh bertindak sesuka hati kerana ini boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan ada caranya tersendiri dan tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan keselamatan dan harmoni rakyat.

Menurutnya, di Sabah dan Sarawak lain kerana sebelum negeri itu berada dalam Malaysia kita telah terikat dengan akta 20 perlembagaan negara yang  tiada masalah penggunaannya, tetapi ia berlainan bagi negeri di Semenanjung yang mana kalimah Allah hanya untuk Orang Islam sahaja.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kuala Krau dan Penyampaian Alat Bantuan Mengajar Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) di Kampung Rumpun Makmur di sini.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, umat Islam perlu bersatu dan menguatkan barisan kerana hanya dengan perpaduan umat yang kukuh menjadikan umat Islam disegani semua bangsa dan agama.