KUALA
LUMPUR: Pembinaan laluan bagi projek penyambungan jajaran LRT (LEP)
Ampang sekali lagi terbantut selepas pekerjanya dihalang sekumpulan
individu yang bertindak liar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil
Castlefield, Puchong pada Sabtu.
Pengarah Kumpulan
Bahagian Pembangunan Projek Prasarana Zulkifli Mohd Yusof berkata
meskipun pihaknya mempunyai perintah mahkamah dan kelulusan berkaitan
daripada pihak berkuasa, kumpulan itu yang terdiri daripada anggota
lembaga sekolah berkenaan, masih enggan membenarkan kerja pembinaan
dilakukan.
Beberapa orang, termasuk anggota polis
tambahan dan Naib Presiden Kanan Jabatan Keselamatan Prasarana Abdul
Rahim Shariff, cedera dalam pergelutan yang berlaku, menyebabkan mereka
membuat laporan polis.
"Kami amat kecewa kerana usaha
kami dihalang oleh tindakan melulu individu terbabit meskipun kami
memperoleh perintah injunksi bagi memasuki sebahagian kawasan sekolah
dan memaklumkan pihak sekolah terlebih dahulu berhubung perancangan
kami.
"Ini adalah kali ketiga kami cuba memasuki
kawasan pembinaan dan kami sudah berulang kali menyatakan bahawa kami
akan memastikan gangguan minimum terhadap pembelajaran murid di sekolah
berkenaan ketika pembinaan LEP dijalankan," kata Zulkifli kepada
pemberita.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa pembinaan
lima tiang bagi projek itu hanya akan membabitkan 0.47 ekar padang
sekolah berkenaan dan laluan jajaran penyambungan sepanjang 180 meter
itu dijangka melalui kawasan tepi padang berkenaan.
Menjelaskan
kronologi kejadian, Zulkifli berkata pada bulan Julai tahun lepas,
Prasarana bersetuju membelanjakan RM20 juta bagi penempatan semula
sekolah berkenaan seperti yang diminta lembaga sekolah namun selepas
itu, mereka mendesak untuk mengawal tender bagi pembinaannya.
"Mengikut
draf perjanjian yang kami terima dua hari lepas, lembaga sekolah
berkenaan meminta untuk meneliti semua pembayaran sebelum ia dibuat
kepada kontraktor yang dilantik.
"Mereka juga
menyatakan jika terdapat sebarang kelewatan, lembaga sekolah itu akan
mengambil alih projek penempatan semula sekolah berkenaan, termasuk dana
Prasarana," katanya.
Beliau berkata sebarang
kelewatan tidak sepatutnya terus berlaku kerana projek itu disenarai di
bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang bertujuan
mempertingkat penggunaan pengangkutan awam daripada 20 kepada 40 peratus
menjelang tahun 2020.
Sementara itu, Pengerusi
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan E.Priyanka berkata
mereka tidak pernah meminta hak untuk mengawal pembayaran bagi projek
itu atau dana bagi membina sekolah baharu seperti yang didakwa
Prasarana.
Beliau memberitahu Bernama bahawa lembaga
sekolah berkenaan hanya ingin memantau kerja pembinaan bagi memastikan
ia siap mengikut jadual.
Priyanka turut mencadangkan
agar peruntukan itu diletak ke dalam akaun berasingan dan diurus
kerajaan negeri Selangor sebagai pihak berkecuali.
Ditanya
langkah bagi menyelesaikan isu itu, beliau berkata PIBG dan lembaga
sekolah akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara berkenaan.
-BERNAMA
0 comments:
Post a Comment